Hari ini, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Wan berjaya menamatkan misi kayuhan solo sejauh 2,277 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia hanya dalam masa hanya 14 hari sambil membawa mesej ‘Percaya Berita Benar’ yang digerakkan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).

Kejayaan tersebut melayakkan Pak Wan yang mempunyai enam cahaya mata, 20 cucu dan seorang cicit memegang rekod sebagai ‘warga emas yang membuat kayuhan solo paling pantas mengelilingi Semenanjung Malaysia’ dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Lebih manis, ini kali kelima namanya tercatat dalam MBOR dengan pelbagai rekod kayuhan pernah dilakar beliau sebelum ini iaitu masing-masing pada tahun 2014, 2016, 2017 dan 2018.

Pak Wan menamatkan misi kayuhan terbaharunya itu yang bermula sejak 22 Jun lalu kira-kira 5.15 petang ini dan ketibaan beliau disambut ibunya, Che Hasmah Ahmad, 88, isterinya, Faridah Daud, 68, serta anak-anak dan cucunya di hadapan kediaman mereka yang terletak di Jalan Telipot, di sini.

Katanya, beliau lega misi kayuhan tersebut berakhir dengan lancar dan bangga dapat menamatkannya sehari lebih awal berbanding sasaran asal selama 15 hari.

“Sasaran asal ialah saya perlu membuat kayuhan antara 150 km hingga 160 km sehari, namun pada hari terakhir, saya nekad meningkatkan jarak kayuhan sehingga 170 km supaya menamatkan kayuhan lebih awal.

“Selain itu, saya berusaha untuk sampai ke destinasi dirancang setiap hari dengan apa cara sekalipun termasuk berkayuh sehingga tengah malam, meredah hujan lebat dan panas terik serta hanya tidur seketika di masjid atau kedai makan,” katanya ketika ditemui pemberita.


Wan Hashim Wan Mahmood disambut oleh keluarganya selepas berjaya mencatatkan rekod peribadi sebagai pengayuh basikal tertua yang terpantas mengelilingi Semenanjung Malaysia di rumahnya di Kota Bharu di sini hari ini.

Sempena kejayaan menamatkan kayuhan tersebut hari ini, Timbalan Presiden Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi menyampaikan plak penghargaan kepada beliau dalam majlis ringkas yang turut dihadiri wakil-wakil pengamal media di negeri ini.

Menurut Pak Wan, pada kayuhan kali ini, semangat beliau berkobar-kobar kerana membawa aspirasi Kemudi yang berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mendapatkan sumber berita yang sahih melalui agensi media yang berkredibiliti.

“Kayuhan Pak Wan kali ini adalah sebagai penghargaan kepada Kemudi dan seluruh warga media Kelantan yang banyak menyokong Pak Wan ketika mencipta rekod MBOR dalam empat kayuhan terdahulu,” katanya.

Pak Wan mencipta rekod MBOR kali pertama pada 2014 sebagai lelaki tertua yang berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km diikuti empat rekod lain termasuk berbasikal di rantau Asia Tenggara dengan jarak sehingga sejauh 5,319 km. - UTUSAN ONLINE