Semasa kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, mangsa, Muhammad Zul Hisyam Md. Hashim, 9, dikatakan sedang menunggang basikal di sekitar tali air tersebut bersama rakan-rakannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, mangsa bersama beberapa rakannya cuba menyeberangi jambatan di lokasi itu.

“Kanak-kanak itu kemudian terjatuh ke dalam tali air tersebut. Rakan-rakannya terus meminta pertolongan penduduk kampung.

”Polis menerima panggilan daripada penduduk pada pukul 3.41 petang berhubung kejadian. Penduduk pada masa sama melakukan gerakan mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ismail berkata, sebaik sahaja anggotanya tiba di lokasi kejadian pada pukul 4.20 petang, mangsa sudah ditemukan oleh penduduk dalam keadaan tidak bernyawa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - UTUSAN ONLINE