Program yang bertemakan ‘ Satu Sampah Satu Pahala’ itu diterapkan kepada pelajar-pelajar dibawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seramai 78 orang dan turut serta ibu-bapa masing-masing.

Pengetua SMK Wakaf Bharu, Mohd. Azmi Awang berkata, program itu telah dilancarkan pada 7 April lalu melibatkan semua pelajar namun hari ini khas untuk pelajar PPKI sahaja.

Katanya, kesemua pelajar PPKI itu dikendalikan oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas, Hasmani Jaafar bersama 12 orang guru lain dan lima pembantu pengurusan pelajar.

Menurutnya, ibu-bapa yang hadir bergotong- royong bersama anak-anak mereka.

“Program ini bertujuan mewujudkan bilik darjah yang bersih dan kondusif.

Kelas merupakan rumah bagi pelajar, jika kebersihan dijaga sekaligus mewujudkan suasana tenang.

“Program ini menjadi tanggungjawab semua warga SMK Wakaf Bharu untuk memastikan keadaan positif seterusnya memupuk minda dan menarik minat pelajar dalam menjaga kebersihan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, bulan jihad kebersihan sepanjang April itu adalah juga satu medium dalam usaha menambah baik dan mengolah keadaaan kelas untuk menjadikan persekitaran kawasan sekolah yang lebih kondusif tanpa sampah.

Jelasnya, antara tempat yang dipilih adalah semua bilik darjah , persekitan kawasan sekolah dan tandas.

“Dalam membentuk jati diri menjaga kebersihan, pihak sekolah turut mengambil inisiatif mengaturkan pertandingan di mana pelajar mengambil sampah akan diberikan mata dengan kiraan satu sampah bersamaan 10 mata.

“Pelajar akan diberikan kad kecil untuk merekodkan mata masing-masing dan diberi ganjaran berupa wang tunai dan pelajar memaklumkan kepada guru bahawa pelajar lain membuang sampah serta terbukti perlaku tersebut akan diberi hadiah RM2 untuk satu sampah,” ujarnnya.

Katanya, program itu diharapkan dapat membantu dan meningkatkan kebersihan dalam bilik darjah serta persekitaran kawasan sekolah. - UTUSAN ONLINE