Timbalan Pengarah Bahagian Operasi 1 JAS negeri, Mohamed Safuan Mohd. Sanuar berkata, pihaknya mengesan tabiat segelintir anggota masyarakat yang gemar membakar sampah berbanding membuangnya ke lokasi pelupusan atau tong sampah yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, tabiat itu dikesan semakin berlarutan sejak 10 tahun lalu yang boleh mengundang risiko kebakaran dan pemanasan global.

“Walaupun tidak begitu kritikal namun sikap ini masih berterusan yang menjadi amalan individu ketika mem­bersihkan persekitaran rumah,” kata­nya ketika ditemui pada program Komuniti Kitar Semula anjuran Persatuan Buddist Tzu Chi Kota Bharu di Pantai Senok, di sini, baru-baru ini.

Seramai 250 ahli persatuan dan kakitangan JAS bergotong-royong membersihkan Pantai Senok yang turut dikenali sebagai Pulau Nami Kelantan.

Yang turut hadir, Pengerusi Buddist Tzu Chi Kota Bharu, Lau Keng Hooi.

Mohamed Safuan berkata, amalan membakar secara terbuka banyak membabitkan penduduk di kawasan kampung dan pendalaman manakala penduduk di bandar lebih terdedah dengan penyediaan tong sampah di kawasan perumahan masing-masing.

“Sikap mengurus sampah de­ngan sistematik boleh diterapkan dalam kalangan masyarakat dengan kerjasama PBT.

“Selain jangan melakukan pembakaran terbuka, kita nasihatkan masyarakat supaya terdidik de­ngan amalan kitar semula dan menjaga kebersihan kawasan pelancongan dan tumpuan ramai seperti di Pantai Senok ini,” katanya.

Tambahnya, individu yang terlibat dalam pembakaran terbuka boleh disabit kesalahan di bawah kesalahan Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan kompaun RM2,000.