Bantahan terhadap langkah pihak berkuasa tersebut turut dinyatakan menerusi piket secara aman oleh 200 penduduk kampung itu di padang bola berkenaan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Wakil penduduk kampung itu, Che Awang Ismail, 53, berkata, penduduk kecewa dengan langkah pihak berkenaan kerana lot seluas kira-kira lebih dua hektar itu adalah padang permainan dan tempat penduduk menjalankan aktiviti sosial sejak 35 tahun lalu.

“Kami menyedari penukaran status tanah itu apabila tiga kumpulan juru ukur dari pejabat berkenaan menjalankan proses pecah lot sejak tiga hari lalu.

“Juru ukur terlibat memaklumkan tanah ini akan dipe­cahkan sebanyak 20 lot bagi pembinaan rumah berkembar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Che Awang berkata, penduduk turut menjemput wakil PTJ untuk memberi taklimat yang lebih tepat sebelum piket diadakan, namun tiada pegawai yang hadir.

Menurutnya, penduduk akan terus mempertahankan status padang bola dengan menghantar memorandum kedua kepada kerajaan Pas Kelantan menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sekiranya tiada maklum balas daripada pihak PTJ Pasir Puteh.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seme­rak, Wan Hassan Wan Ibrahim ketika dihubungi berkata, padang bola di kampung itu kekal disediakan namun lokasinya mungkin berganjak.

Menurutnya, kerja ukur se­mu­la tanah dijalankan bagi penyediaan lokasi hospital Islam Tok Bali; tapak untuk pemindahan Sekolah Kebangsaan Tok Bali yang terlibat dengan pembangunan pelabuhan dan sebahagian lagi adalah untuk projek perumahan rakyat setempat.

“Rezab padang bola seluas 0.92 hektar tetap disediakan. Saya anggap kes ini selesai ke­rana apa yang berlaku adalah salah faham penduduk terhadap usaha Pihak Berkuasa Tempatan untuk membangunkan Kampung Haji Wan Omar.

“Penduduk berhak untuk membuat sebarang bantahan tetapi bukan dipengaruhi provokasi pihak tertentu dan kita sedia mendengar bantahan daripada penduduk bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.