Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri, Anuar Mat Zain berkata, ibu bapa tidak perlu takut untuk menghantar anak mereka kerana Tabika Kemas kini setanding dengan tabika swasta yang lain.

Katanya, ketika ini terdapat seramai 18,000 kanak-kanak yang belajar di 798 kelas yang di­selia 14,000 kakitangan dan guru di seluruh negeri ini.

“Ibu bapa perlu mengikis persepsi bahawa Tabika Kemas tidak berkualiti hanya kerana kelas ini percuma.

“Kita telah meningkatkan sistem seperti guru telah terlatih yang mempunyai Diploma Pendidikan, sistem berasaskan pendidikan awal kanak-kanak prasekolah dan pemakanan yang seimbang.

“Terbaharu, kita ada kelas agama. Jadi saya rasa masyarakat tak perlu sangsi mahu menghantar anak ke Tabika Kemas supaya anak-anak tidak tercicir dalam pelajaran di usia 2 hingga 6 tahun,” katanya kepada pemberita selepas program menyemarakkan Hari Kebangsaan Tabika Kemas di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penyelia Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Gua Musang, Norizan Yaakob.

Pada program tersebut, seramai 500 kanak-kanak dari Tabika Kemas di Gua Musang termasuk guru dan ibu bapa teruja memakai baju yang dibuat daripada Jalur Gemilang sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-61.

Pada majlis berkenaan Jalur Gemilang terpanjang sepanjang 45 meter juga berjaya dihasilkan dan dikibarkan.

Anuar berkata, program itu sekali gus dapat menanam semangat cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak serta menerapkan erti kemerdekaan dalam diri kanak-kanak menerusi peganjuran pelbagai acara yang menyeronokkan.

“Acara untuk menyemarakkan Hari Kebangsaan itu dimulakan dengan konvoi Jalur Gemilang oleh lebih 100 kenderaan ke perkarangan tabika di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini.

“Sambutan itu kemudian di­teruskan dengan perarakan 300 kanak-kanak tabika, bacaan ik­rar, pertunjukan pakaian ber­a­gam, mewarna hari kebangsaan, nyanyian lagu patriotik dan jamuan merdeka.

“Menariknya program itu turut menghidangkan juadah merdeka yang dibawa dari 72 buah tabika di seluruh jajahan ini. Pengliba­tan ibu bapa juga menjadikan program berkenaan lebih meriah dan harmoni,” katanya.