Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau hairan isu tersebut dijadikan tajuk muka hadapan dan laporan utama akhbar terbabit sedangkan katanya soal nikah cerai adalah perkara lumrah dalam kehidupan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sendiri tidak pernah menerima sebarang maklumat rasmi daripada Istana Kelantan sama ada mengenai perceraian mahupun perkahwinan baginda itu malah tidak berhasrat untuk bertanya pihak istana mengenainya.

“Saya sendiri tertanya-tanya apa tujuan bila tengok muka hadapan akhbar itu, bila isu ini dijadikan tajuk besar akhbar dengan laporan penuh muka hadapan, kahwin cerai ini perkara biasa dalam hidup, kenapa yang ini jadi (berita) muka hadapan?

“Kita bimbamg takut ada agenda tersembunyi jadi tak eloklah, sebab kita bercakap tentang seorang Sultan. Sultan ini dia macam mak dan ayah kita jadi kena hormatlah, macam kita hornat Perdana Menteri.

“Kita tidak setuju itu cerita lain tetapi penghormatan kena ada, kita boleh tidak setuju dengan sesiapa pun, dengan mak ayah kita sekali pun tetapi hormat itu mesti ada,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini menyiarkan laporan muka hadapan mengenai Sultan Muhammad V yang didakwa telah menceraikan ‘isterinya’ yang berasal dari Rusia dengan cerai talak tiga.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, pihak kerajaan negeri belum menerima sebarang arahan untuk bertindak ke atas mana-mana individu yang menyalahgunapakai gelaran dari istana.

Semalam Pengelola Istana, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan melalui satu kenyatan berkata, tidak ada sesiapa boleh digelar Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa sebarang pengumuman rasmi dari Istana Kelantan. - UTUSAN ONLINE