Bapa kepada empat anak yang berusia antara 10 hingga 24 tahun ini mengakui dia sudah kebal dengan kecederaan akibat tercucuk jarum ketika melakukan pekerjaan itu.

Ismail atau lebih dikenali Abang Mail tukang kasut berkata, dia menghabiskan masa harian dengan berada di atas bangku kecil setiap hari untuk menjahit dan menampal kasut di kaki lima Jalan Dato Pati, di sini bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang.

“Pendapatan saya tidak menentu bergantung kepada permintaan pelanggan, jika banyak tempahan maka pendapatan juga bertambah.

“Saya mampu memperoleh upah kira-kira RM70 hingga RM80 sehari, dan kebiasaanya permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

“Biarpun ada yang mengatakan tidak sanggup untuk menghidu bau hapak kasut yang telah dipakai, namun saya tetap menganggap pekerjaan ini mulia dan akan meneruskannya selagi masih mempunyai kudrat,” katanya ketika ditemui pemberita di kaki lima Jalan Dato Pati, di sini baru-baru ini.

Mail berkata dia mula berjinak dengan pekerjaan ini kerana sumber pekerjaan yang sangat sukar untuk diperolehi ketika zaman remajanya.

“Saya mula menjahit kasut sejak tahun 1990 an dengan mempelajari beberapa teknik asas menjahit oleh bapa mentua yang juga seorang tukang kasut di sekitar bandar ini satu masa dahulu.

“Saya mengambil masa hampir empat tahun mempelajari pelbagai asas jahitan dan jenis jahitan daripada bapa mentua sebelum membuka perniagaan sendiri ketika itu,” ujarnya.

Tambahnya, seandainya mendapat lambakan tempahan ataupun tidak mampu disiapkan dalam tempoh yang diberikan, dia akan meneruskan pertukangan di rumahnya berdekatan Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

“Masyarakat tidak harus memandang rendah kerjaya tukang kasut hanya melihat luaran iaitu lokasi dan persekitaran kerja sahaja.

“Usaha yang dilakukan ini adalah untuk mencari rezeki halal sebenarnya tanpa meminta-minta demi menyara keluarga,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE