Sempena program itu, IRM mengorbankan tiga ekor lembu untuk diagihkan kepada kumpulan asnaf di kampung berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, pada tahun ini pihaknya memilih Kelantan dan Sabah sebagai destinasi untuk ibadah korban.

Katanya, setiap tahun pihaknya melaksanakan program ibadah korban di seluruh negara.

“Kita melihat ibadah Korban Perdana yang dilakukan IRM memang suasananya meriah dan paling penting 35 orang kakitangan IRM sendiri serta penduduk kampung bersama-sama menjayakan ibadah ini.

“Ini merupakan program kedua kita pada tahun ini selepas di Sabah kelmarin,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini, semalam.

Zairulshahfuddin berkata sempena program korban itu, aktiviti yang dijalankan ialah penyembelihan dan pengurusan daging korban, psikososial bersama kanak-kanak dan tazkirah dari tetamu jemputan

Sementara itu, penduduk Kampung Bertam Baru bersyukur apabila kampung mereka terpilih menerima sumbangan daging korban kali ini.

Seorang asnaf, Wan Mariam Wan Ibrahim, 42, berkata, mereka bersyukur menerima daging korban kerana sepanjang hidup mereka tidak pernah melakukan ibadah korban kerana miskin.

Katanya, pengagihan daging korban bermakna buat mereka yang dikategorikan sebagai penduduk miskin.

“Kami bukan setakat tidak mampu melakukan ibadah korban, tetapi untuk membeli sekilogram daging pun tidak berbuat demikian kerana harga daging sekarang sekitar RM30 sekilogram.

“Kami cukup terharu dan berterima kasih kepada rombongan IRM yang sudi mengagihkan dan melakukan aktiviti bersama penduduk,” katanya. - UTUSAN ONLINE