Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, ketika era Abdullah, tiada campurtangan politik, bahkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ditubuhkan ketika itu melalui Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang dianggotai hakim, bekas hakim dan ahli akademik.

Pada zaman Najib pula kata beliau, suruhanjaya itu dikekalkan dan menjalankan fungsi melantik hakim, menentukan kenaikan pangkat hakim di semua peringkat serta mencalonkan nama hakim kepada Perdana Menteri untuk dipersembah kepada Yang Dipertuan Agong.

“Sepanjang 60 tahun, hanya sekali berlaku iaitu Krisis Kehakiman 1998 yang mana Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dipecat. Jika zaman ini dikatakan institusi kehakiman dinodai UMNO, sememangnya semua sudah maklum mengenainya.

“Bahkan itu sejarah hitam dalam sistem kehakiman negara. Siapa tidak kenal Perdana Menteri ketika itu?” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dilaporkan mendakwa, UMNO dan BN pernah menyalahguna kuasa dan menodai badan kehakiman bagi menutup kesalahan sejak 60 tahun lalu namun sekarang, zaman itu sudah berakhir.

Menyangkal kenyataan itu, Nik Saiful Adli berkata, ketika pemimpin sama menjadi Perdana Menteri ketujuh, kes-kes mahkamah individu berkepentingan politik seperti Lim Guan Eng dan Rafizi Ramli sewenang-wenangnya dibebaskan tanpa melalui perbicaraan.

“Adakah ini juga kerana campur tangan UMNO?” soal beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO menegaskan, dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan ada disebut kuasa Majlis Raja-raja menasihati Yang Dipertuan Agong dalam urusan perlantikan mana-mana jawatan yang diperuntukkan melalui Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, apa yang cuba Datuk Seri Khairuddin sampaikan apabila membuat desakan kepada Majlis Raja-Raja untuk terus secepat mungkin menerima cadangan perlantikan Ketua Hakim Negara oleh Perdana Menteri?

“Apa yang Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki jelaskan dalam kenyataan beliau sebelum ini adalah mengenai proses perlantikan hakim sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada isu untuk dipertikaikan melainkan Khairuddin tidak faham perlembagaan, sebab itulah beliau menyerang peribadi Dr. Asyraf Wajdi, bukannya bercakap berasaskan peruntukan undang-undang,” katanya. - UTUSAN ONLINE