Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi berkata, penulis adalah kelompok penting yang membantu membina pemikiran masyarakat.

Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja pihak Maik telah mengagihkan zakat lebih RM185 juta kepada asnaf namun impak positif daripada usaha ini tidak begitu diketahui umum.

“Kita mengagihkan zakat kepada lapan asnaf termasuklah fakir, golongan miskin atau memerlukan, amil zakat, muallaf, golongan ar-riqab atau yang menjadi hamba kepada keadaan seperti dadah, pelacuran dan sebagainya.

“Malah orang yang terbelenggu dengan hutang juga boleh datang kepada Maik untuk mendapatkan bantuan zakat selain peruntukan besar kita agih untuk bidang pendidikan” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program ‘Bersama Editor’ anjuran Maik dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

Yang turut hadir, Ketua 1 Puspa, Dr Abdul Aziz Mahmood.

Pada program ini, editor majalah Dewan Sastera, Zaharahanum Kamarudin dan editor majalah Pengasuh, Muhammad Nur Hashri Junuh telah berkongsi pengalaman mereka.

Dalam pada itu, Nik Mohd Azlan berkata, beliau juga berharap para penulis terus berperanan memastikan perpaduan antara kaum di negeri ini kekal utuh.

“Keadaan kita berbeza dengan suasana di ibu negara kini yang seperti hangat dengan isu perkauman.

“Fokus utama adalah kita pastikan perpaduan yang kita bina sejak lama terus bertaut dan diperkemaskan lagi,” katanya. UTUSAN ONLINE