Nasi percuma melalui ‘Free Food Program’ yang telah bermula sejak tiga tahun lalu itu diagihkan pada pukul 11.30 pagi pada setiap hari Ahad dan Rabu di perkarangan bangunan IIDAC, di sini.

Salah seorang penerima, Wan Jah Hamid,65, yang berasal dari Pasir Mas berkata, dia bersyukur dengan agihan nasi percuma itu dan sanggup datang dari jauh bagi menjimatkan perbelanjaan hariannya.

“Sudah dua kali saya datang ambil nasi percuma di sini, saya tidak kisah tentang persepsi orang ramai kepada saya. Sebungkus nasi amat bermakna bagi orang susah macam saya.

“Kalau ikut kemampuan saya yang hanya bekerja ambil upah mengemas rumah orang, itu pun tidak menentu. Saya hanya tanak nasi dua hari sekali dan cuba berjimat sebaik mungkin.

“Meskipun bantuan ini sedikit, namun ia cukup bermakna memandangkan kos hidup yang semakin hari semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi penerima, Esah Mat, 84 yang menjual ubi di kaki lima Pasar Besar Siti Khadijah berkata, sudah hampir setahun dia mengambil nasi percuma di kawasan itu.

“Saya ni boleh dikatakan penerima tetap nasi percuma di sini. Saya mula tahu pasal program ni awal tahun lalu apabila pihak IIDAC datang di kaki lima memberitahu tentang ada agihan nasi percuma setiap Ahad dan Rabu, “ ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi IIDAC, Hassan Hussin berkata, program agihan nasi percuma itu tertumpu kepada golongan asnaf tanpa mengira kaum di sekitar bandar ini dan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM600 setiap kali diadakan.

“Dana kita adalah hasil sumbangan pelbagai pihak, antaranya alumni Maktab Sultan Ismail (SIC). Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin turut sama menjayakan program ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE