Kesemua mereka adalah wakil dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising serta termasuk anggota Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi Bersatu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada pukul 10 pagi ini.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian ini, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar berkata, pemilik laman Facebook yang dikenali sebagai Mat Kilau telah memberikan gelaran yang amat jelik kepada pemimpin nombor satu negara dengan tujuan untuk menghina.

“Kami mahu polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multi Media Malaysia (MCMC) membuat siasatan segera kerana laporan itu tidak beradab dan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD di sini, hari ini.

‘Mat Kilau’ yang merupakan pentadbir dalam satu grup WhatsApp dikatakan telah menghina Dr. Mahathir ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, Sabtu lalu.

Wan Marzudi berkata, agensi-agensi berkenaan perlu bertindak terhadap penulis itu mengikut undang-undang yang ada supaya memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak lagi menggunakan perkataan-perkataan jelik yang boleh meruntuhkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat dan negara.

“Kami bukan menentang penggunaan ayat-ayat itu terhadap Dr. Mahathir sahaja tetapi juga kepada pemimpin parti-parti politik lain termasuk bekas Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya. - UTUSAN ONLINE