Wan Mohd. Radzi Wan Salleh, 51, berkata, kaedah yang diciptanya itu berjaya ‘memaksa’ anggur itu untuk berbuah walaupun ditanam di kawasan luar iklim empat musim.

Menurutnya, ramai yang tidak mengetahui pokok anggur mudah ‘ditipu’ melalui kaedah pengawal atur pertumbuhan.

“Penipuan itu bagi memastikan pokok berkenaan seolah-olah hidup di negara asalnya yang beriklim empat musim.

“Melalui cara ini, saya akan pastikan anggur ini hidup ber­asaskan keadaan iklim tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kaedah itu telah membuahkan hasil apabila anggur sudah boleh berbuah dalam tempoh lapan bulan dari hari pertama ia mula ditanam.

Wan Mohd. Radzi memberitahu, projek yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu mampu mengeluarkan 350 hingga 400 tangkai anggur untuk sebatang pokok yang sudah matang.

Katanya, dia memilih untuk mengusahakan tanaman ber­ke­­naan kerana mahu mencabar kemampuan dalam bidang pertanian yang merupakan sebahagian daripada darah dagingnya.

“Anggur merupakan tanaman yang cukup lasak dan mampu tumbuh serta berbuah dalam apa juga keadaan cuaca termasuklah dalam iklim Khatulistiwa.

“Berbekalkan teknik tanaman yang betul dan pengetahuan, alhamdulillah anggur saya mampu berbuah dalam tempoh lapan bulan dari hari pertama ia mula ditanam,” ujarnya.

Menurutnya, anggur yang di­usahakannya bukan sahaja berbuah lebat malah rasanya manis seperti keluaran dari kawasan beriklim empat musim.

“Melalui kaedah ini saya dapat mengawal cara pembajaan yang betul.

“Teknik ini akan menjadikan buah anggur manis dan me­nya­mai yang ditanam di tanah tinggi atau negara asal,” katanya.