Nor Azizah bagaimanapun tidak patah semangat, malah sentiasa mewujudkan pelbagai inovasi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran berasaskan Pembelajaran Sains Secara Inkuiri (IBSE).

Beliau semakin ligat dan aktif mempopularkan STEM setelah dilantik sebagai Guru Kanan Sains dan Matematik sekolah tersebut sejak 2008.

Antara inovasi ibu kepada empat cahaya mata ini yang kemudiannya menjadi ikutan pendidik lain termasuklah Kembara Fizik, ShowMe, tayangan video dan kajian lapangan, program Jurulatih Elit Muda, pameran STEM, Kem Kolaboratif, Ramah Rumus, Peta I-Think dan Toy Based 3D Poster.

Terbaharu, Nor Azizah berjaya menukar wajah sebuah bengkel seni yang terbiar usang dan pernah ‘digeruni’ di SMK Kemumin menjadi Studio STEM yang serba interaktif kerana dilengkapi pelbagai kemudahan serta model mainan dan peralatan berkaitan STEM.

Studio itu dibuka awal tahun ini pantas berkembang menjadi lokasi paling digemari dan kerap dikunjungi pelajar setakat ini.

Kaedah didik hibur menggunakan pelbagai model mainan secara tidak langsung berjaya mencetus minat pelajar SMK Kemumin terhadap STEM.

Bercerita lanjut tentang Studio Stem tersebut, Nor Azizah memberitahu, tiada peruntukan khas untuk membiayai pelaksanaan projek terbabit, namun itu bukan halangan besar bagi seorang ‘pejuang STEM’ seperti beliau.

“Demi memastikan projek ini terlaksana, saya sanggup berhabis termasuk mengeluarkan duit poket sendiri. Selain itu, Alhamdulillah, pengetua dan guru lain turut menghulurkan sumbangan serta sokongan.

“Usaha membaik pulih dan menghias semula bengkel terbiar itu dibantu oleh pelajar saya ketika di luar waktu belajar dan kami mengambil masa dua bulan iaitu Oktober hingga Disember 2018 untuk menyiapkannya dengan kos sekitar RM2,000,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Studio Stem kini bukan sahaja menjadi hab kepada kesemua inovasi pengajaran dan pembelajaran yang pernah diperkenalkannya sepanjang bergelar pendidik, malah menjadi pusat aktiviti kokurikulum pelajar SMK Kemumin.

“Apabila sesuatu topik dalam subjek Fizik memerlukan pe­nerangan terperinci, saya bawa pelajar ke studio ini dan mereka boleh tengok sendiri contoh aplikasi menerusi tayangan video atau model yang ditempatkan di situ.

“Selain membantu proses pendidikan STEM, studio ini juga dijadikan pusat aktiviti pelajar membuat persiapan untuk menjayakan pelbagai program sekolah termasuk hari sukan baru-baru ini. Malah pasukan nasyid sekolah juga berlatih di dalam studio ini,” katanya.

Nor Azizah turut mengucapkan terima kasih kepada Penge­tua sekolah tersebut, Norriha Abd. Rahman yang memberi sokongan penuh kepadanya.

Keberkesanan teknik dan ino­vasi di bawa Nor Azizah bukan sahaja diakui warga pendi­dik lain, malah kewibawaannya sebagai guru berpengalaman terbukti apabila dilantik sebagai jurulatih utama bagi program IBSE di Kelantan.

Dia yang kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam pengkhususan pembangunan nilai di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan calon Guru Adiwira SMK Kemumin pada tahun ini.