Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pelbagai kemudahan akan diwujudkan supaya kawasan itu menjadi tarikan pelancong.

Katanya, gua berkenaan se­suai dijadikan destinasi pelan­congan kerana menjadi lambang kepada pembangunan bandar ini yang terkenal dengan keindahan gua batu kapur.

“Perkara itu juga sudah di­bincangkan dengan kerajaan Pas Kelantan dan bersetuju berbuat demikian, tinggal lagi menyiapkan kertas kerja kemudahan bakal disediakan.

“Jika menjadi kenyataan nanti, gua batu kapur itu akan terus menarik tumpuan dan sekali gus membawa perubahan kepada Bandar Lama Gua Musang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau bersa­ma Pengerusi Jawatankuasa Perpa­duan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Ne­geri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman melawat gua batu kapur Gua Musang untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan.

Mohd. Syahbuddin berkata, keistimewaan gua itu bukan sahaja mencatat sejarah asal wujudnya nama daerah Gua Musang, tetapi juga boleh didaki sehingga ke puncak.

Katanya, stesen kereta api lama yang terletak berhampiran gua itu juga akan dibaik pulih bagi menarik pelancong.

“Keunikan Gua Musang jarang dijumpai di gua lain di negara ini kerana pernah ketika dulu menjadi tempat tinggal Orang Asli sebelum Gua Musang dibangunkan.

“Mereka yang mendaki ke puncak gua dengan ketinggian lebih 100 meter itu juga dalam melihat keindahan alam semula jadi bandar ini yang indah,” katanya.

Menurutnya, pada 2020 juga, Gua Musang bakal jadi bandar pelancongan apabila masjid ikonik mirip Masjidilharam yang terletak di Bandar Lama ini bakal siap.

“Kelantan merupakan Se­ram­bi Mekah, manakala Galas pula Serambi Kelantan apabila wujudnya masjid ikonik itu,” katanya.