Wan Mohd. Aris Wan Abdullah, 60, melakukan kerja tersebut di bengkelnya yang terletak di rumahnya di Kampung Tanah Putih di sini.

Sepanjang hampir 20 tahun pembabitannya dalam bidang menempa dan membuat sarung golok, dia telah menerima tempahan yang tidak putus-putus daripada pelanggan.

Bagi memudahkan kerjanya itu, Wan Mohd. Aris bersyukur apabila mendapat bantuan peralatan bernilai RM9,000 daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi meringankan bebannya.

Namun, dia bimbang apabila kebolehannya akan berkubur apabila melihat anaknya dan generasi muda kurang berminat untuk menjadikan per­usa­haan itu sebagai kerjaya masa depan.

Menurutnya daripada berpuluh pembuat golok sebelum ini di Gua Musang, cuma tinggal dua orang yang masih bergiat aktif.

“Rata-rata ‘pandai besi’ sudah meniti usia emas. Kerja ini memerlukan kesabaran tinggi kerana terpaksa melalui beberapa proses termasuklah menghadap bahang panas untuk membakar besi.

“Kesabaran juga amat perlu apabila kita menghasilkan golok dan kena berusaha keras untuk mendapatkan pelanggan,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Sehingga kini, Wan Mohd. Aris berjaya menghasilkan lebih 1,000 bilah golok dan sarung untuk tempahan pelanggan di seluruh negara.

Katanya, harga sebilah golok untuk melakukan penyembe­lihan atau hiasan bermu­la antara RM150 sehingga RM3,000.

“Saya menggunakan kayu kemuning kuning, kayu angsana, penawar hitam, arang bunga, macang hutan, sepetir dan re­ngas untuk menghasilkan sarung hulu dan sarung golok bermutu tinggi.

“Generasi muda dialu-alukan untuk mempelajari kemahiran ini supaya golongan ‘pandai be­si’ tidak pupus,” katanya.