Penyerahan kunci RBN berke­naan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam satu majlis semalam.

Kesemua penerima berkenaan adalah terdiri daripada mereka yang mengemukakan permohonan sejak tahun lalu.

Menurut seorang penerima, Mohd. Amir Rameli, 28, dia berasa amat gembira dan tidak me­nyangka dapat memiliki rumah sendiri secepat ini.

“Saya telah mengemukakan permohonan RBN ini tahun lalu dan hanya menunggu kira-kira setahun sahaja untuk menerima kunci rumah baharu ini.

“Dengan adanya RBN ini, kehidupan kami sekeluarga kini lebih selesa dan impian saya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pe­lancaran RBN Peringkat negeri Kelantan 2017 di Kampung Lepan Kandis di sini semalam.

Mohd. Amir berkata, untuk RBN ini, dia hanya perlu membayar serendah RM250 sebulan.

“Sebelum ini, saya bersama isteri serta dua orang anak terpaksa berhimpit di rumah kedai yang disewa dengan harga RM100 sebulan.

“Namun, sekarang saya tidak lagi perlu menyewa dan hanya perlu membayar RM250 sebulan untuk rumah sendiri,” katanya.

Tambahnya, dia amat berterima kasih kepada kerajaan Pusat yang banyak membantu generasi kedua sepertinya untuk memiliki rumah sendiri.

“Usaha kerajaan yang mena­war­kan insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap rumah RBN yang berharga RM65,000 ada­lah satu langkah yang amat baik,” katanya.