KOTA BHARU 30 Ogos - Program Malaysia #QuranHour yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini diyakini dapat membentuk gelombang keinsafan dalam kalangan peserta.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji negeri, Datuk Adnan Hashim berkata, program bertemakan Sembilan Budaya Membina Tamadun yang diambil daripada intipati surah al-Naml itu agak istimewa kerana diadakan sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan Ke-61.
“Di dalam surah al-Naml itu ditunjukkan bagaimana Nabi Sulaiman a.s membina negara melalui proses-proses yang disebut di dalam al-Quran.
“Antaranya meningkatkan ilmu pengetahuan, pembentukan generasi pelapis, tadbir urus yang baik, disiplin dan ketegasan, tepat dalam membuat keputusan serta bermesyuarat bagi menegakkan kebenaran,” katanya selepas merasmikan Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad yang turut menyampaikan syarahan perdana berkaitan al-Quran.
Kira-kira 1,000 peserta mewakili 114 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini menyertai Malaysia #QuranHour.
Program yang diadakan selama tiga jam itu bermula pada pukul 11 pagi dan sarat dengan pelbagai pengisian seperti bacaan al-Quran, tadabbur serta tazkirah.
Adnan berharap, agar program seperti ini dapat membentuk masyarakat yang unggul serta dilaksanakan secara berterusan.
“Semoga segala usaha murni ini menggalakkan kita untuk berinteraksi dengan al-Quran iaitu dengan membaca, memahami, mengamalkan serta menyebarkan segala isi kandungannya,” jelasnya.