Perkara itu dibuktikan sekumpulan 15 guru agama wanita di Kampung Kuala Betis, di sini yang bangga menggayakan tudung Jalur Gemilang setiap kali keluar bertugas sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Mereka ialah masyarakat Orang Asli tempatan dan merupakan guru agama lantikan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Salah seorang daripada mereka, Raihan Hashim, 32, berkata, dia dan rakan-rakan pakaian baju kurung bercorak Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu.

"Tahun ini pula kami sepakat memakai tudung Jalur Gemilang. Kami mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli tudung ini jalur dan akan memakainya setiap kali mengajar di kelas sehingga 31 Ogos ini.

“Kami mahu menunjukkan kepada rakyat berbilang kaum bahawa Orang Asli juga bersemangat patriotik walaupun tinggal di pedalaman. Kita sebagai rakyat Malaysia harus sama-sama menghayati perjuangan generasi terdahulu demi mencapai kemerdekaan," katanya.

Rakannya, Ida Terang, 29, pula berkata, semangat patriotik bukan sahaja boleh ditonjolkan melalui kibaran bendera, tetapi juga perubahan minda seseorang individu.

Katanya, mereka berazam menepis tanggapan sesetengah pihak kononnya masyarakat Orang Asli mundur dan tidak peka terhadap isu semasa serta peristiwa-peristiwa penting dalam negara.

"Saya dan rakan-rakan akan menggayakan tudung ini setiap kali mengajar di kelas agama.

"Semoga inisiatif kami ini dapat mengajak masyarakat Orang Asli di tempat kami supaya turut menanamkan semangat patriotik dalam diri masing-masing," katanya. - UTUSAN ONLINE