Noor Atina Shakira Sabaruddin, 15, sebelum ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.

Neneknya, Siti Mariam Awang, 63, bersyukur apabila cucunya mendapat kad pengenalan dalam tempoh masa dua bulan selepas kisah malangnya dilaporkan Utusan Malaysia.

Katanya, dia berterima kasih kepada pihak JPN yang mempercepatkan dan memudahkan urusan cucunya itu.

“Alhamdulillah, selepas sekian lama menanti cucu saya telah memiliki kad pengenalan diri.

“Saya juga bercadang untuk menghantar Noor Atina ke kelas pendidikan khas selepas ini, namun perlu membuat pengesahan kesihatannya terlebih dahulu,” katanya di sini hari ini.

Pada 27 Januari lalu, akhbar ini melaporkan kisah gadis lembam itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan sehingga tidak dapat menikmati kelebihan menjadi rakyat Malaysia termasuk bersekolah.

Selepas itu, pelbagai pihak telah mengunjungi rumah gadis itu termasuklah pegawai JPN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melakukan siasatan.

Siti Mariam berkata, kelmarin, dia telah dihubungi pegawai JPN daerah ini untuk mengambil MyKad cucunya yang sudah siap diproses.

Katanya, dia begitu gembira kerana cucu yang dijaga sejak kecil selepas dibuang ibu kandung mendapat kad pengenalan untuk meneruskan kehidupan. - UTUSAN ONLINE