Kesemua projek tersebut dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri yang dipengerusikan secara bersama di antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, projek pertama yang disentuh ialah Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 yang kini sudah 19 peratus proses pembinaan.

“Projek ini berjalan dengan lancar dan melebihi jadual yang ditetapkan. Fasa pertama projek yang menelan belanja RM458 juta ini amat penting untuk menangani masalah banjir bukan sahaja banjir monsun tetapi juga banjir kilat di negeri ini.

“Kedua, kita turut membincangkan cadangan kerajaan negeri untuk membina Empangan Lebir di hulu Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Ahmad selepas mesyuarat tersebut di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan Pas Kelantan merasakan projek empangan itu amat penting untuk bekalan air bersih dan juga pertanian.

Katanya, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) turut memohon supaya projek ini dipercepatkan kerana mereka amat memerlukan untuk mengairi kawasan sawah padi di negeri ini.

“Projek yang melibatkan kos RM3.5 bilion ini telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia k-13 (RMK-13) di bawah PLSB fasa ketiga tetapi saya akan maklumkan kepada kementerian supaya memasukkannya dalam RMK-12.

“Kita juga menilai cadangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk pembinaan hidroelektrik di Nenggiri walaupun telah diluluskan oleh kerajaan namun pada tahun lalu Suruhanjaya Tenaga meminta supaya projek ini dikaji semula dan TNB memaklumkan untuk memberikan maklum balas bulan ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan mahu projek yang ditanggung sepenuhnya oleh TNB itu memenuhi beberapa kriteria diberikan perhatian supaya kos ini tidak membebankan pengguna dalam jangka panjang.

“Masalah yang dihadapi oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) 14.5 juta skim bekalan air Merbau Chondong, Machang yang terpaksa dihentikan keran skop dan kos tambahan sebanyak RM14.5 juta dan kos asal 113 juta oleh kerana Kementerian bersedia untuk menimbangkan permohonan ini dengan syarat Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli membuat permohonan dan audit lengkap,” katanya

Sementara itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan Kerajaan Pas Kelantan supaya Menteri Besar menjadi Pengerusi bersama MTNg bagi memastikan penyelarasan dan kerjasama projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan efektif. - UTUSAN ONLINE