Pemiliknya, Shahmi Azani Mohd. Tanazi, 26, berkata, jualan bersistem kupon itu membolehkan pelanggan-pelanggan boleh mengisi buah durian sebanyak yang mungkin di dalam beg plastik yang diberikan.

Katanya, kebiasaan satu plastik itu boleh memuatkan lima hingga lapan biji buah durian dan sangat berbaloi hanya perlu membayar RM10 kerana mempunyai isinya yang baik.

“Hari ini saya menyediakan sebanyak 100 kupon berdasarkan bekalan buah durian dan sistem kupon ini dibuat bagi memudahkan jualan berjalan secara lancar serta mengelakkan perebutan buah berlaku.

“Saya mengutamakan golongan warga emas, wanita mengandung dan orang kurang upaya untuk mendapatkan kupon itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, antara buah durian lain yang dijual adalah jenis D24, IOI D2, D13, Udang Merah , D88, Kampung , Cikgu dan Holo.

Menurut Shahmi, dia membekalkan pelbagai jenis buah durian lebih 20 tan sehari dimana bekalan diperolehi dari negeri Johor, Pahang, Kedah Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Kami menjual durian harga dari RM3 hingga RM15, ini merupakan harga yang sangat murah untuk orang ramai dan sekarang ada bekalan yang banyak, jadi kami mengekalkannya,” ujarnya yang lebih 11 tahun bekerja sebagai penjual durian. - UTUSAN ONLINE