Sejak tiga tahun lalu, Nik Azmi Raja Ismail, 60, telah menanam sebanyak 1,665 pokok durian belanda di kawasan seluas 2.4 hektar.

Nik Azmi yang mendapat tempat kedua dalam pertanding­an kategori hasil buah-buahan sempena program Ekspo Tani anjuran kerajaaan negeri pada tahun 2018 berkata, dia tidak takut mencuba kerana yakin tanaman tersebut boleh memberi pu­langan lumayan.

Katanya, kebun durian belandanya telah mengeluarkan hasil sebanyak 50 peratus sejak enam bulan lalu dan setakat ini tidak menghadapi masalah untuk memasarkan buah itu.

“Saya percaya durian belanda ini akan memberi pulangan le­bih lagi daripada kelapa sawit memandangkan permintaan untuk buah ini agak tinggi.

“Sebagai permulaan saya dapat menjana pendapatan sam­pingan melalui durian belanda sebanyak RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Felda Aring 1 di sini semalam.

Tambah Nik Azmi, rutin hariannya padat dengan kerja memetik buah, membaja dan meracun serangga di kebun berkenaan.

Katanya, dia berterima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana banyak memberinya khidmat nasihat dan bantuan lain untuk menguruskan kebunnya itu.

Sementara itu, Pegawai Ja­batan Pertanian Jajahan Gua Musang, Azrim Ibrahim berkata, durian belanda yang dikenali sebagai durian sayur di Kelantan berpotensi tinggi dan memberi pulangan lumayan apabila harga buah itu mencecah RM15 hingga RM25 sekilogram ketika ini.

Katanya, setakat ini hanya terdapat dua individu di ja­jahan ini yang mengusahakan ta­naman itu secara komersial dan pihaknya bersedia membantu pekebun lain yang berminat.

“Kami mengesyorkan dan bersedia membantu golongan belia yang berminat untuk mengusahakan tanaman durian belanda ini.

“Mengikut kajian, durian belanda memiliki khasiat sebagai antara agen semula jadi untuk melawan kanser. Daun dan akarnya pula dipercayai dapat membantu meredakan sakit kerongkong dan gejala kencing manis,” katanya.