Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, suspek yang berusia 61 dan 30 tahun itu disyaki menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak polis lelaki warga emas itu bertindak melarikan diri sebelum berlaku pergelutan semasa cuba ditahan.

“Dalam serbuan sama, anggota polis turut bergelut dengan anak lelakinya berusia 30 tahun dan berjaya merampas kira-kira 32 gram methamphetamine dari poket sebelah kanan seluar sukan yang dipakainya.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya menemukan 20 gram serbuk putih di dalam lima botol kecil dipercayai heroin, 71 gram kristal cerah disyaki syabu, satu gram pil kemerahan dan enam gram daun kering dipercayai ganja milik warga emas berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua beranak itu telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu.

“Warga emas itu disiasat mengikut Seksyen 39 B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala anak lelakinya yang tidak bekerja disiasat mengikut Seksyen 39 A Akta sama.

“Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh bermula hari ini sehingga 24 Januari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE