Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan.

“Pihak polis bersetuju untuk memberi kawalan keselamatan seperti yang dirancang. Kita harap semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini sepanjang program ini,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Program Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Mohamed Fadzli berkata, program itu merupakan tanda solidariti semua pihak dengan isu serta tekanan yang dihadapi oleh Dr. Zakir, sekali gus menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita bawanya ke Kelantan dengan satu semangat bahawa dakwah yang dibawa oleh beliau menunjukkan keistimewaan, keindahan, kecantikan, keharmonian dan toleransi Islam. Ini bersesuaian dengan prinsip Kelantan yang membangun bersama Islam,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, dijangka seramai 100,000 pengunjung akan hadir pada malam kemuncak program itu.

“Antara pengisian program adalah Bicara Anak Muda, Bicara Eksekutif, Khutbah Jumaat, Bicara Muslimat, Pidato Perdana Penyatuan Ummah, dan Penghayatan Hari Wukuf,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE