Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, daripada jumlah itu tiga mangsa meninggal dunia iaitu dua di Kota Bharu dan satu kes di Bachok.

Menurutnya, bandar Kota Bharu yang mempunyai padat dengan penduduk adalah di antara kes tertinggi iaitu 730 oranh diikuti Tumpat (273) dan Bachok sebanyak 156 kes demam denggi.

“Peningkatan itu disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu iaitu hujan dan panas selain faktor amalan kebersihan tidak ditititberatkan oleh penduduk di kawasan terbabit yang menjurus kepada pembiakan nyamuk aedes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Sihat Kelantan-Terengganu di Hospital Tengku Anis, dekat sini, hari ini.

Seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam program itu membabitkan kayuhan sejauh 40 kilometer yang berakhir di Kampung Beting Lentang, Besut.

Dr. Zaini berkata, pihak Hospital Raja Perempuan Zainab 11 (HRPZII) di Kota Bharu kini tidak boleh lagi menerima pesakit baru disebabkan wad khas yang dibuka bagi penyakit itu sudah dipenuhi.

“Bagi pesakit baharu denggi, mereka akan ditempatkan di hospital-hospital kerajaan yang berdekatan kecuali bagi pesakit kritikal sahaja akan dipertimbangkan ke wad khas.

“ Keadaan dijangka bertambah buruk antara dua hingga tiga kali ganda pada musim perayaan hari raya Aidiladha awal bulan depan apabila puluhan ribu rakyat Kelantan yang berada di Lembah Klang pulang berhari raya bersama keluarga di kampung.

“Ini kerana negeri itu mencatatkan jumlah tertinggi di negara ini menghidap demam denggi yang memungkinkan mereka membawa pulang virus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jabatannya akan melakukan kempen menjaga kebersihan di sekeliling rumah terutama tidak membiarkan air bertakung dalam objek kosong yang membolehkan nyamuk Aedes membiak.

Selain itu, katanya, Jabatan Kesihatan juga akan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan mengenakan kompaun maksima sebanyak RM500 jika didapati mereka cuai menjaga kebersihan sekeliling rumah mereka yang menjadi sarang nyamuk Aedes membiak. - UTUSAN ONLINE