Sebahagian besar mereka yang merupakan peserta Orang Asli bertindak membuat tuntutan itu kerana kegagalan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Risda Plantation Sdn. Bhd. membayar tunggakan dividen hasil ladang itu sejak empat bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tuntutan itu, Ajom Alang, 67, mendakwa peserta Orang Asli kini berdepan dengan pelbagai masalah perbelanjaan kerana kegagalan pihak berkenaan membayar tunggakan dividen sebanyak RM550 sebulan.

AJOM ALANG menunjukkan surat yang dihantar kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berhubun

AJOM ALANG menunjukkan surat yang dihantar kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berhubung tuntutan mereka ketika mengadakan demonstrasi di Gua Musang hari ini. - UTUSAN ONLINE/ AIMUNI TUAN LAH

Katanya, masalah itu sudah beberapa kali dikemukakan kepada pihak terbabit menerusi penyerahan surat tuntutan, namun tidak dilayan sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk mengadakan demonstrasi.

“Kita menganggap mereka sudah gagal menguruskan ladang tersebut kerana tidak dapat membayar tunggakan dividen selama empat bulan kepada peserta.

“Peserta sudah bersepakat jika tunggakan dividen itu tidak dibayar, kita akan masuk ladang untuk bekerja sendiri,” katanya ketika mengadakan demonstrasi di ladang sawit RPS Kuala Betis, di sini hari ini.

Seorang peserta, Luwi Siam, 54, pula berkata, kebanyakan peserta yang bergantung kepada pendapatan dividen ladang sawit itu setiap bulan sidah tidak mampu menanggung kos perbelanjaan bulanan yang kian tertunggak.

Katanya, ada rumah peserta juga tertunggak bayaran bil elektrik sehingga melebihi RM1,000 dan menunggu untuk dipotong gara-gara ketiadaan wang. - UTUSAN ONLINE