Pengurus Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Mozamir Hussein berkata, pihaknya akan membantu petani untuk menggunakan baja tanpa bahan kimia itu bagi meningkatkan hasil dua kali ganda terutama bagi pesawah.

Beliau berkata, secara purata pengeluaran padi di negeri ini ialah dua tan sehektar dan mampu ditingkatkan kepada empat tan sekiranya baja tersebut digunakan seiring dengan amalan pertanian yang baik.

“Langkah tersebut dapat meningkatkan pendapatan pesawah iaitu daripada RM2,400 untuk dua tan padi kepada RM4,800.

“Secara tidak langsung, hasil pengeluaran padi negara dapat ditingkatkan dan kita tidak lagi bergantung kepada beras luar negara untuk kegunaan rakyat,” katanya selepas Majlis Taklimat Teknologi Baja Untuk Semua Tanaman di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Panji di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sd Logistik & Trading, Datuk Ferdaus Kayau.

Mozamir berkata, selain itu, petani yang mengusahakan tanaman lain juga turut mendapat manfaat daripada penggunaan baja berteknologi tinggi apabila hasil pengeluaran mereka meningkat.

“Untuk itu, saya akan me­ngadakan taklimat kepada pegawai pertanian dan petani supaya mereka dapat menggunakan baja ini dengan sepenuhnya untuk meningkatkan hasil serta pendapatan.

“Pada masa ini, pengeluaran hasil pertanian oleh petani bawah seliaan PPN dengan keluasan tanah lebih 35,000 hektar masih rendah kerana disebabkan tanah berasid,” katanya.