Rumah bernilai RM50,000 itu dibina menerusi Program Baiti Jannati TNB iaitu projek pembinaan rumah percuma khusus untuk golongan asnaf terpilih di seluruh negara.

Sharifah Aini berkata, sebelum ini, dia dan dua anaknya tinggal di sebuah rumah pusaka yang serba kekurangan sejak 20 tahun lalu.

Katanya, selama dua tahun kebelakangan ini, mereka terpaksa hidup berhimpit apabila separuh daripada rumah berkenaan runtuh dipukul ribut pada tahun 2017.

“Saya tidak mampu untuk membina rumah kerana saya hanya mengambil upah mewarna batik dan pendapatan itu hanya cukup makan kami tiga beranak.

“Apabila dimaklumkan saya terpilih menjadi antara 20 penerima bantuan rumah Baiti Jannati, saya amat bersyukur dan Alhamdulillah kami sekeluarga dapat me­nyambut Hari Raya kali ini di rumah baharu,” katanya.

Sharifah Aini ditemui selepas majlis penyerahan rumah tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Radzi Jidin di sini petang semalam.

Sementara itu, Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Kelantan, Bahagian Runcit TNB, Muhamad Azli Ab. Rahim berkata, TNB telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk Program Baiti Jannati di negeri ini tahun ini.

“Untuk tahun ini, TNB akan membina 20 biji rumah untuk asnaf yang terpilih dan Sharifah Aini ini adalah penerima yang ketiga.

“Baki 17 buah rumah lagi masih dalam pembinaan yang akan disiapkan tidak lama lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE