Mereka juga amat berhati-hati setiap kali mahu mengatur langkah kerana lantai kayu rumah tersebut sudah reput di merata-rata tempat, selain gigih menyumbat kain perca, kepingan kotak dan kertas surat khabar pada dindingnya yang berlubang-lubang.

Hari ini, Hasnani, 44; Wan Ismail Wan Daud, 67, dan tiga anak mereka bersyukur dan tersenyum lega kerana impian untuk memiliki kediaman lebih selesa akhirnya tercapai apabila menerima bantuan rumah menerusi Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Hasnani berkata, rumah sumbangan TNB tersebut amat besar ertinya kepada mereka sekeluarga dan dia lega anak-anaknya yang berusia 6, 14 serta 16 tahun tidak perlu mendiami rumah lama lagi.

Katanya, mereka selama ini tidak mampu menyewa rumah yang lebih selesa memandangkan gaji suaminya sebagai pe­ngawal keselamatan di sebuah taman perumahan sekadar RM800 sebulan, manakala dia sendiri pula hanya seorang suri rumah.

“Sebab tidak mampu, kami memilih untuk tinggal dalam rumah yang diwarisi daripada ibu bapa saya ini biarpun ke­ada­annya sudah terlalu daif. Rumah ini tiada bilik tidur, bocor dan berlubang di sana-sini.

“Sepanjang musim tengkujuh, satu rumah akan penuh dengan air. Memang tidak boleh hendak duduk tapi kami kuatkan juga semangat,” katanya.

Hasnani ditemui pemberita selepas keluarganya menerima kunci rumah itu yang disampaikan oleh Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Kelantan, Bahagian Runcit TNB, Muhammad Azli Ab. Rahim, di sini hari ini.