Siti Nur Aisyah berkata, hatinya mula terdetik untuk mendalami agama Islam ketika dia masih berada di bangku sekolah.

Katanya, dia banyak terdedah dengan agama Islam daripada rakan-rakan di sekolah kerana kebanyakan mereka beragama Islam.

“Waktu sekolah dulu, saya biasa tidur, mandi dan makan di rumah kawan yang beragama Islam dan setiap kali waktu Magrib, saya selalu melihat dia mengaji al-quran.

“Dari situ, saya tertarik dengan agama Islam dan perlahan-lahan saya mula belajar mengaji dengannya,” katanya ketika ditemui pada Program Tadarus Al-Quran di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Siti Nur Aisyah berkata, pelbagai cabaran dan dugaan yang ditempuh ketika mula-mula memeluk agama Islam pada tahun 2008.

“Pada mulanya, saya memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga kerana pada masa itu, ibu, ayah serta adik beradik membantah dengan keputusan saya.

“Walaubagaimanapun, Alhamdulillah sekarang mereka sudah boleh menerima malah, saya juga sempat menjaga ayah sakit sebelum dia meninggal pada tahun 2016,”katanya.

Sementara itu, Pegawai Dakwah dan Kerja Perkim Bahagian negeri Kelantan, Wan Zubaidah Wan Yusoff, berkata, Program Tadarus Al-Quran ini telah dilaksanakan bermula sehari sebelum puasa.

“Program Tadarus ini melibatk seramai 60 orang mualaf dan mereka dibahagiakan kepada tujuh kumpulan.

“Setiap hari, mereka perlu menghabiskan bacaan 1 juzud bagi setiap kumpulan. Mereka akan bergilir-gilir membaca dalam satu kumpulan dan saling menegur jika ada kesilapam dalam bacaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE