Hamizi Hamzah, 39, dari Kampung Telaga Nanas, di sini tidak dapat menjawab soalan itu memandangkan sudah hampir empat bulan dia terputus mata pencarian mengambil upah sebagai tukang rumah di sekitar daerah ini.

Puncanya, dia hilang upaya akibat disengat ulat bulu laut sewaktu mencari tiram, Februari lalu dan sengatan haiwan berbisa itu menyebabkan isi daging di kakinya luruh serta berkudis selain mungkin terpaksa dipotong.

Sejak ditimpa musibah itu, keluarganya bergantung kepada sumbangan orang ramai sebelum menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak sebulan lalu.

“Setiap kali diajukan soalan persiapan Aidilfitri ini, hati saya menjadi sebak memikirkan hasrat anak-anak itu. Saya tidak mampu memberikan jawapan, kecuali membisu.

“Maklumlah saya sudah tidak gagah untuk bekerja walaupun luka akibat sengatan ulat bulu itu hampir sembuh. Namun rasa sakitnya itu masih lagi dirasai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Hamizi menerima kunjungan wakil Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) bersama Royal Guest House Hotel (RGH), Kelantan Creative TV (KCTV) dan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan yang berkolaborasi menerusi program Kita Kongsi.

Antara yang hadir, Setiausaha Kemudi, Rosmiza Kasim; Ketua Pegawai Eksekutif RGH Raja Rusmin Raja Mahmud; Pengarah Operasi KCTV, Norazwatul Akmal Kasmuri dan Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Muhammed Imran Mansoor.

Ketika kunjungan itu, Kita Kongsi turut menyampaikan sumbangan wang tunai, pek makanan untuk berbuka puasa serta barangan keperluan harian kepada keluarga Hamizi.

Hamizi memberitahu, dia kini bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan tradisional dan kapsul tulang angsa bagi menyembuhkan luka akibat gigitan ulat bulu itu namun, kos itu terlalu tinggi sedangkan dia tiada punca pendapatan.

“Doktor juga ada sarankan ambil isi paha tampal di kaki yang tercabut isi akibat terkena sengatan ulat bulu itu. Tetapi ini masih dalam pertimbangan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE