Pengerusi pertubuhan tersebut, Syahidul Amri Khairuddin berkata, daging arnab kini mendapat permintaan dalam kalangan peniaga makanan untuk dijadikan sate dan sup selain digunakan dalam perubatan.

Menurutnya, orang ramai perlu merebut peluang menternak haiwan tersebut kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk Program Agropreneur Muda yang mana setiap petani berpeluang menikmati geran dari RM10,000 sehingga RM20,000 seorang.

“Jadikan ternakan ini sebagai hobi yang mampu menjana pendapatan terutama dalam kala­ngan belia yang menganggur.

“Pertubuhan Darul Gemilang bersedia membantu mengembangkan projek ternakan arnab berasaskan potensinya agak baik dan berdaya maju,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Syahidul Amri berkata, harga pasaran arnab pedaging mence­cah RM150 sehingga RM800 se­ekor bagi baka induk, manakala harga daging siap diproses antara RM25 hingga RM45 sekilogram.

Katanya, kursus penternakan arnab sebagai sumber rezeki baharu dan Taklimat Pembiayaan Geran Kerajaan Agropremuer Muda turut dianjurkan Darul Gemilang untuk menggalak penduduk setempat menternak haiwan itu.

“Sehingga kini terdapat seramai 55 penternak arnab aktif di negeri ini yang bersedia berkongsi pengalaman bagi membantu penternak baharu yang berminat untuk memenuhi permintaan bekalan yang belum mencukupi,” katanya.

Menurutnya, kegemaran sebagai hobi perlu ditukarkan kepada penternakan berteknologi untuk dikomersialkan.