Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri, Anuar Mat Zain berkata, terdapat lebih 10 kelas tabika di kawasan Orang Asli yang terpaksa menumpang di premis lain disebabkan tiada tapak untuk pembinaan bangunan kekal.

Beliau berkata, ketika ini kelas terlibat terpaksa menum­pang di balai sewang, rumah adat, serta dewan serbaguna.

“Kita mempunyai 546 murid Orang Asli yang belajar di 24 kelas di seluruh negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut mu­rid di 10 kelas terpaksa belajar dalam suasana yang tidak selesa dan tidak kondusif apabila terpaksa menggunakan premis tumpa­ngan.

“Jadi kita berharap Orang Asli juga tidak tercicir dalam pendidikan dan meningkat maju selaras dengan perkembangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau kelas tabika masyarakat Orang Asli di Pos Gob di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Anuar berkata, setiap tahun kerajaan membe­lanjakan sebanyak RM60 juta untuk 18,500 murid di 800 tabika di nege­ri ini bagi memastikan perkembangan pendidikan terus maju.

“Bagi makanan basah ke­ring sahaja kita berbelanja RM10 juta setahun untuk memastikan anak-anak tabika mendapat zat makanan yang seimbang kerana kita yakin pemakanan berkhasiat adalah penyumbang kepada tumbesaran kanak-kanak, menjadikan badan sihat serta minda cerdas.

“Kerajaan banyak menyalurkan duit tetapi masalah sekarang ini peruntukan itu tidak dapat digunakan untuk membina bangunan sempurna disebabkan masalah tanah.

“Kita berharap agar kerajaan negeri peka dengan masalah ini serta mengutamakan bidang pendidikan dengan memberi kelonggaran serta kemudahan terutamanya soal tanah,’’ ujar­nya.