Menurut Mohd. Syahbuddin, beliau akur dan menghormati prinsip dipegang kerajaan negeri yang selama ini melaksanakan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ serta ‘Merakyatkan Membangun Bersama Islam’.

“Saya berharap perkara ini dapat diambil secara positif kerana saya hanya menyuarakan pandangan selepas mengambil kira kewujudan panggung wayang patuh syariah yang pernah diluluskan kerajaan negeri sebelum ini.

“Sebagai rakyat Kelantan yang ber tanggungjawab, saya menyambut baik keputusan dibuat kerajaan negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.

Terdahulu ketika sesi penggulungan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata keputusan menolak cadangan itu dibuat setelah majlis mesyuarat kerajaan negeri membincangkan isu berkenaan secara terperinci.

Katanya, kerajaan negeri boleh mengenakan syarat ketat kepada pengusaha panggung wayang, namun aspek penguatkuasaan terhadap pelanggaran syarat perlu diambil kira dan setakat ini, pihaknya tidak mempunyai kemampuan melaksanakan penguatkuasaan tersebut.

Selain itu, antara alasan lain dikemukakan ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob telah meletakkan fokus untuk mengurangkan gejala sosial pada tahun ini dan kewujudan panggung wayang dilihat menyebabkan lebih ramai anak muda keluar pada waktu malam.

Semalam, ketika sesi perbahasan, Mohd. Syahbuddin mencadangkan kerajaan negeri membenarkan pembukaan pawagam patuh syariah di negeri ini selepas operasinya dihentikan kira-kira 20 tahun lalu.

Katanya, setiap hujung minggu, ramai rakyat negeri ini ke Terengganu semata-mata untuk menonton wayang. - UTUSAN ONLINE