Hamim Azwar Zamzuri, 11, menjadi peserta termuda konvensyen itu yang disertai 230 peserta termasuk yang berusia 80 tahun dari enam buah negara antaranya Indonesia, Mesir, Singapura, Myanmar dan Kemboja.

Hamim Azwar yang merupakan anak bongsu dari enam beradik berkata, dia hadir bersama ayahnya, Zamzuri Abu Bakar, 48, dan sanggup menempuh perjalanan dengan kereta lebih lapan jam ke sini demi mendapat peluang beroleh keberkatan belajar daripada ilmuwan al Quran.

“Saya mula ikut ayah keluar belajar ilmu al Quran di mana sahaja sejak berumur sembilan tahun lagi.

“Dalam konvensyen ini, kami belajar kitab lama Matan Jazariah yang mengandungi 109 bait syair tajwid yang perlu dihafal.

“Saya tidak ada masalah untuk faham kerana sudah ada asas tajwid dan penerangan Syeikh walaupun dalam Bahasa Arab diterjemahkan semula oleh penterjemah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup konvensyen di sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Dr Md Yusnan Yusof.

Pada majlis itu juga, kesemua peserta menerima ijazah sanad tamat belajar Matan Jazariah yang disampaikan tokoh besar al Quran dari Mesir, Syeikh Dr Ahmed Isa Hasan Al-Ma’sarawi.

Untuk rekod, Matan Jazariah adalah salah satu daripada dua naskah asli yang dianjurkan untuk dihafal sebagai pegangan dalam ilmu tajwid. Satu lagi naskah adalah Matan Tuhfatul Athfal Wal Ghilman.

Sementara itu, seorang lagi peserta muda, Umar AlFaruq Muhamad Ikhwan, 12, dari Makasar, Indonesia pula berkata, ini adalah kali kedua dia datang ke negeri ini selepas kali pertama menyertai konvensyen itu tahun lalu.


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Dr Md Yusnan Yusof (duduk barisan kedua, enam dari kiri) dan tokoh dari Mesir,Syeikh Dr Ahmed Isa Hasan Al-Ma'sarawi (duduk barisan kedua, tujuh dari kiri) di Konvensyen Al-Quran Al-Karim Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu hari ini.

“Tahun ini saya gembira kerana dapat berguru dengan idola saya, Syeikh Hesyam Abdelbary Mohamed Rageh yang turut menjadi pembentang Matan Jazariah dalam konvensyen ini.

“Saya sangat minat dengan ilmu al Quran dan pernah mewakili Indonesia ke Majlis Tilawah Antarabangsa Tijan Annur di Qatar dua tahun lalu dan berjaya menduduki tempat ke 16 daripada 50 peserta terbaik,” katanya.

Seorang lagi qari terkenal dari Mesir yang berkongsi ilmu dalam konvensyen itu adalah Syeikh Yasir As Syarqowi yang mengendalikan kelas taranum. - UTUSAN ONLINE