Ahmad Yakub

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, projek-projek ter­se­but juga dijadikan sebahagian daripada Rancangan Struktur Ne­ge­ri (RSN) Kelantan 2040 yang ber­tujuan menjadikan Kelantan­ sebagai sebuah negeri maju, mam­­pan dan dinamik menjelang 2040.

Katanya, tujuh projek berke­naan ialah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pelabuhan Tok Bali, Le­buh Raya Pantai Timur 3 (LPT3), Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Selain itu, turut termasuk ialah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri dan Lebir serta Projek Tebatan Banjir Sungai Golok,” katanya ketika me­rasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Kajian Semula RSN Kelantan 2040 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Ja­batan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Nik Husni Nik Rashid.

Ahmad memberitahu, negeri ini telah pun mempunyai RSN Kelantan 2020 yang disediakan pada 2003, namun pelan tersebut dikaji semula untuk diselaraskan dengan pelbagai aspek baharu dan hala tuju negeri yang lebih jelas sehingga tahun 2040.

Katanya, RSN Kelantan 2040 disediakan sejak Ogos 2016 dan dijangka siap pada penghujung tahun ini serta memiliki lima teras strategik pembangunan dan 83 strategi yang akan dilaksanakan sehingga 2040.

“Rancangan ini perlu melalui dua peringkat publisiti dan penyertaan awam iaitu ketika draf laporan pemeriksaan dan draf rancangan struktur negeri.

“Publisiti dan penyertaan awam ini merupakan usaha atau langkah-langkah pemberitahu­an­ kepada orang awam supaya mereka memeriksa kandungan pada peringkat draf ini dan memberi pandangan atau maklum balas masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, orang awam yang ingin memberi pandangan boleh berbuat demikian dalam tempoh sebulan bermula 24 Julai dengan cara mengisi borang disediakan di Jabatan Perancang­an Bandar dan Desa negeri serta pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT).