Terbaharu, seramai 50 pelajar Kolej Uniti Kota Bharu (KUKB) bergotong-royong membersihkan Pantai Cahaya Bulan yang lebih dikenali dengan PCB, di sini petang semalam.

Yang Dipertua Majlis Perwa­kilan Mahasiswa (MPM) KUKB, Wan Muhammad Akmal Wan Azman berkata, program gotong-royong bertemakan ‘Ceria­kan Pantai Kita - Bersih Di Ma­ta, Tenang Di Hati’ itu adalah an­tara usaha yang sering dilakukan persatuan dan kelab pelajar kolej itu terutama bagi menjaga kebersihan pantai.

“Bukan sahaja kami yang buat gotong-royong tetapi ramai pihak dan NGO lain termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sendiri giat membersihkan kawasan pantai kebelakangan ini.

“Antara lokasi yang kami biasa turun adalah pantai berdekatan kolej seperti PCB, Pantai Kuda dan Pantai Mek Mas. Kami pernah dapat lebih 20 bungkus plastik hitam sampah iaitu hasil kutipan semasa gotong-royong dalam tempoh tidak sampai sejam.

“Kami berharap aktiviti yang dilakukan ini dapat meningkatkan kesedaran pengunjung supaya sama-sama menjaga ke­bersihan pantai. Kami meran­cang menjadikan PCB sebagai pantai angkat pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Wan Muhammad Akmal, 20, yang juga pengarah program berkata, gotong-royong itu juga merupakan sebahagian aktiviti countdown sempena Festival Uni­tipreneur 2019 yang akan ber­langsung di kolej itu dari 28 Mac hingga 30 Mac ini.

Katanya, pelbagai acara di­sediakan untuk orang ramai sepanjang festival itu antaranya forum agama, dikir barat, pertandingan bola sepak, akti­viti untuk kanak-kanak, pame­ran agensi kerajaan dan swasta serta gerai jualan.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Siti Amirah Azami, 20, berkata, dia kesal kerana sikap masyarakat yang masih belum berubah dan sanggup membuang sampah walaupun ada tong sampah disediakan.