Program yang merupakan sebahagian daripada gagasan Pemangku Raja Kelantan me­rangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra itu memberi fokus membantu pelajar miskin menggapai kecemerlangan akademik terutama penguasaan bahasa kedua dengan pelaksanaan kelas tambahan khas di masjid.

Imam Tua masjid itu, Rosman Harun berkata, peserta akan belajar dalam keadaan selesa menerusi penggunaan media pembelajaran moden yang selari dengan pendidikan abad ke-21 sebagaimana yang disyorkan oleh Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, pengurusan mas­jid menyediakan bilik khas di bangunan tahfiz dengan kelengkapan terbaik untuk membantu empat sukarelawan guru memberikan pendidikan sempurna kepada para murid.

“Sepanjang Ramadan, kita memberi cuti rehat dan disambung semula pada Jumaat lalu. Kita memberi kepercayaan penuh kepada sukarelawan guru terbabit iaitu Dian Nuranismi Mohamad, Wan Haslina Wan Hassan, Noor Azizah Harun dan Wan Maheran Wan Mahamood untuk mendidik anak-anak itu sejak Mac lepas,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi berkata, kejayaan usaha itu melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN); Yayasan Islam Kelantan (YIK); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menyediakan modul pengajaran serta tenaga pengajar sukarela.

Menurutnya, sesi pembelajaran berlangsung selama 12 ming­gu, pada setiap pagi Jumaat dari pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi dengan bilangan pelajar ditetapkan kepada 25 orang setiap kelas tahap rendah dan menengah.

“Program ini turut dilaksanakan di beberapa buah masjid di seluruh daerah negeri ini.

“Antaranya, Masjid Bandar Sultan Muhammad II, Telipot dan Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Kota Bharu; Masjid Mahmud, Bachok; Masjid Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Gua Musang; Masjid Tengku Muhammmad Faris Petra, Kuala Krai dan Masjid Sultan Muhammad 1, Jeli,” katanya.