Program anjuran bersama Jabatan Penerangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri itu melibatkan ahli Kelab Malaysiaku daripada sembilan buah sekolah di PPD Bachok.

Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Lim Ann Teck berkata, program yang dibuat secara berperingkat di setiap daerah ini akan melibatkan 80 buah sekolah di negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini, program itu telah dilaksanakan di beberapa daerah seperti Machang, Kuala Krai, Kota Bharu, Jeli dan yang akan datang di Tanah Merah.

“Program ini telah memberi pendedahan baharu terutama kepada generasi muda yang bakal menjadi pengundi di masa hadapan.

“Ini juga selaras dengan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi Pejabat Pilihanraya negeri, Mohd. Fadly Mohd. Fauzi; Pegawai PPD Bachok, Drs. Amran Mustapha dan Pengetua SMK Pak Badol, Mohd. Nasir Sazali.

Program itu turut melibatkan simulasi pengundian dan penamaan calon selain ceramah mengenai proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.

Dalam pada itu, Ann Teck berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan SPR, sebanyak 167,000 rakyat negeri ini yang sudah mencapai umur 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi.

“Jumlah itu adalah sebahagian daripada 3.7 juta rakyat di seluruh negara yang belum mendaftar,” katanya. - UTUSAN ONLINE