Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Saripuddin Tuan Ismail berkata, program selama lima hari itu menghimpunkan pelbagai penggerak pertanian termasuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) mempromosikan produk masing-masing.

Menurutnya, pameran yang dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam itu menyaksikan pameran 100 lembu sado; 150 ekor kambing dan biri-biri, arnab, pelbagai jenis ayam dan paling menarik, ikan kerapu gergasi spesis Kertang bernilai RM30, 000 seekor.

“Sepanjang tempoh ini pelbagai bengkel dan seminar pertanian yang berinovasi akan turut diadakan. Seribu satu macam maklumat pertanian ada di sini dan peluang ini perlu dikongsikan pengunjung untuk melihat aktiviti pertanian adalah satu perniagaan.

“Tema hari peladang kali ini ialah Kelantan Jelapang Makanan Negara yang menyerlahkan kegigihan petani mengusaha sesuatu projek bukan hanya untuk keperluan domestik tetapi dalam skop yang lebih global,” katanya kepada pemberita di Tok Aman Bali Resort, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Tuan Saripuddin berkata, jualan murah barangan terkawal akan turut diadakan pada waktu tertentu dan sumbangan bantuan kepada 40 penanam tebu telur turut disampaikan dalam kempen menebus guna tanah terbiar.

Menurutnya, seekor lembu kampung juga dijadikan hadiah untuk pertandingan memancing, selain beberapa acara sukan rakyat dan kayuhan basikal santai sejauh 32 kilometer.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM250, 000 bagi menjayakan program ini selain bantuan Kerajaan Persekutuan menerusi agensi pertanian yang mengambil bahagian,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob akan merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan pada 1 Ogos nanti. - UTUSAN ONLINE