Program anjuran Kementerian Belia Dan Sukan yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Gabungan Sahabat Karya itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara belia, mahasiswa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini.

Pengarah Program, Asran Alias berkata, antara aktiviti bakal diadakan ialah pertandingan autoshow kereta dan motosikal, dikir barat, futsal, pidato belia, e-sport serta kereta lumba mini Tamiya.

“Program ini merupakan komitmen kerajaan kepada belia dan menyedari peranan belia dalam usaha membuat transformasi dalam masyarakat.

“Kita turut mengenengahkan program kerohanian dan pendidikan menerusi kuliah Jumaat oleh Ustaz Nik Omar Nik Abd. Aziz dan Abu Hafiz Salleh Hudin,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan program itu di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa.

Asran dalam pada ith berkata, karnival ini juga merupakan platform bagi golongan belia untuk mendapatkan informasi mengenai inisiatif kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan dan peluang perniagaan.

“Selain beriadah dan bersukan, belia juga boleh mendapatkan maklumat melalui panduan dan khidmat nasihat mengenai pelbagai program keusahawanan, latihan dan kemahiran di festival ini.

“Terdapat juga pameran daripada agensi Kementerian Belia Sukan seperti Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan banyak lagi. Kita mengajak seluruh belia dan organisasi belia di semua peringkat untuk turut sama hadir, “ ujarnya.

Tambahnya, majlis perasmian penutup karnival akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bermula pukul 2 petang pada hari terakhir program. -UTUSAN ONLINE