Ketua Polis Daerah, Superin­tenden Mohd. Taufik Maidin berkata, jumlah itu adalah yang tertinggi di daerah ini dan kegia­tan itu meningkat dipercayai berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

Katanya, susulan itu, pihak­nya telah melantik 53 anggota sebagai pegawai perhubungan di setiap masjid untuk mengekang jenayah itu dan bertindak mengambil peduli setiap kejadian yang berlaku.

“Anggota itu berperanan mendekati jemaah masjid dan memantau setiap gejala yang berlaku untuk mengambil tindakan segera.

“Kegiatan pecah tabung masjid dan harta lain milik jemaah harus diberi perhatian serius supaya dapat ditangani serta tidak menimbulkan rasa tidak selamat kepada jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran program Satu Masjid Satu Polis di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra di sini, semalam.

Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan peti maklumat dan buku lawatan polis kepada Imam Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Othman Saufi untuk diletakkan di masjid berkenaan.

Mohd. Taufik berkata, masyarakat seharusnya tidak memberi ruang kepada kejadian jenayah di masjid dan menjaga harta persendirian.

“Kita berharap segala usaha dan tindakan yang kita buat ini dapat membendung kejadian jenayah di setiap masjid di daerah ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Taufik berkata, beliau juga bimbang dengan kegiatan penyalahgunaan dadah khususnya membabitkan orang Melayu di daerah ini yang dilihat semakin meningkat setiap tahun.

“Bagi tempoh 2018 sebanyak 1,061 tangkapan dilakukan berkaitan penyalah gunaan dadah berumur antara 15 hingga 40 tahun dan meningkat daripada 1,028 kes pada tahun 2017.

“Dalam tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula sebanyak 233 kes tangkapan direkodkan dan kita bimbang ianya akan meningkat lagi,” katanya.