Program selama sehari itu turut merekodkan penyertaan pelajar paling ramai iaitu 54 orang, membabitkan 19 sekolah rendah dan menengah di Perlis serta 34 guru pengiring.

Lebih manis apabila Pe­ngarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail turut serta meninjau pelaksanaan program yang me­libatkan 217 pelajar Sekolah Anu­banmuangsatun di sini.

Pada program berkenaan, sebanyak 11 buah Stesen Aktiviti Doktor Muda telah dibuka yang terdiri daripada penerangan tip pemakanan sihat, penjagaan kesihatan sehinggalah kepada senaman.

Apa yang menarik, kesemua perkara penting mengenai maklumat kesihatan itu disampaikan oleh pelajar yang bertindak sebagai doktor muda kepada rakan-rakannya di sekolah tersebut.

Inilah konsep Kelab Doktor Muda iaitu menyampaikan mesej kesihatan kepada rakan sebaya.

Namun jika sebelum ini, kumpulan doktor muda itu tidak mempunyai masalah untuk menerangkan kepada rakan-rakan di sekolah, tetapi apabila berada di negara luar, sudah tentu ia memberi cabaran buat mereka.

Apatah lagi pelajar Sekolah Anubanmuangsatun yang agak ketinggalan dari segi kemudahan prasarana itu tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Jadi pelbagai cara terpaksa digunakan oleh pelajar termasuk menggunakan perantara atau bahasa badan kepada sebilangan pelajar yang boleh berbahasa Melayu supaya menterjemahkan kepada rakan-rakannya yang lain.

Izmi ketika ditemui berpuas hati dengan program tersebut kerana berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu memberi pendedahan awal doktor muda kepada dunia luar.

“Saya yakin kumpulan doktor muda ini telah memperoleh pendedahan awal yang berguna dalam aspek kemenjadian seorang pelajar untuk masa depan mereka.

“Walaupun berhadapan ca­baran komunikasi tetapi mereka dapat melaluinya dengan baik,” katanya yang menyasarkan untuk mengembangkan program seumpama itu di lokasi lain pada masa depan.