Baginda bertitah, ini termasuk dalam penggunaan bahasa kiasan yang sering kali digunakan bagi menggambarkan sesuatu perasaan yang terbuku di dalam hati.

"Kesenian bahasa juga turut terpamer pada bahasa istana dan bangsawan. Contohnya ialah bagaimana seseorang yang ingin memberikan idea dan pandangan yang tidak sejajar dengan titah diraja akan menggunakan frasa 'sembah derhaka'.

"Istilah sembah derhaka ini merupakan satu kesenian dalam lenggok bahasa yang menggambarkan bagaimana bangsa Melayu itu amat menyanjung tinggi sesuatu titah diraja.

"Sembah derhaka bukanlah bermaksud menderhaka. Ia satu seni dan rasa hormat kepada raja sehingga dianggap sesuatu yang tidak selari dengan titah diraja sebagai 'derhaka' iaitu tingginya budi bahasa seorang rakyat kepada rajanya," titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Majlis Penutupan Program Semarak Bahasa Melayu yang diadakan di sini, malam ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua yang diiringi anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis, Dr. Mohd. Zahari Ismail; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin.

Turut hadir Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam dan Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Abdul Mohaimin Osman.

Program tahunan tersebut kali ini dianjurkan melalui kolaborasi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama institusi pengajian tinggi (IPT) di Perlis.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs turut  merakamkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut terutamanya Majlis-majlis Agama Islam di Thailand bersama guru-guru dan para pelajar.

Titah baginda, mereka ialah daripada Sekolah Agama Saengtam Wittaya di Narathiwat; Sekolah Fahad Wittayathan di Phang Nga; Sekolah Muslim Wittaya Phuket di Phuket dan Sekolah Satun Santisuksa di Satun yang bekerjasama dengan IPT-IPT dari Perlis pada kali ini. - UTUSAN ONLINE