Azizah Kadir, 73, mendakwa, masalah timbul apabila arwah suaminya, Md. Husain Che Had hanya membuat perjanjian secara lisan dengan pemilik asal ketika membuat urusan jual beli tanah berkenaan.

“Kini, saya runsing memikirkan nasib saya selepas waris pemilik tanah berkenaan menyatakan hasrat untuk mengambil tanah ini.

“Tanah ini dibeli oleh arwah suami sebelum kami berkahwin lagi tetapi saya tidak mempunyai dokumen jual beli ber­kenaan. Apa yang saya tahu, perjanjian jual beli hanya dibuat secara lisan sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Lapan, di sini baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, kata Azizah, dia tiada tempat untuk dituju sekiranya dihalau keluar kerana tidak mahu membebankan anak-anaknya yang juga datang daripada keluarga susah.

“Selepas dua kali terjatuh pada 2004 dan 2012, saya tidak mampu berjalan. Saya yang tinggal bersendirian di sini terpaksa menggunakan papan beroda untuk ke mana-mana termasuk dapur mahupun bilik air.

“Adakala, anak-anak perem­puan saya yang tinggal berhampiran kawasan ini menghantar makanan. Menyedari kesusahan mereka dan ditambah ke­adaan saya tidak boleh berjalan, saya tidak mahu menambah beban mereka lagi,” katanya yang mempunyai enam orang anak.

Menurutnya, dia kini me­nyara kehidupan harian dengan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 bulan.