Dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 pagi itu, suspek yang berusia 69 dan 39 tahun itu disyaki menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saifi Abd. Hamid berkata, serbuan ke atas rumah diduduki dua beranak itu dibuat selepas menerima aduan orang ramai yang hairan melihat premis mereka sering dikunjungi terutamanya pada waktu malam.

“Penggeledahan di dalam rumah itu menemui sejumlah dadah dipercayai jenis heroin seberat 5.5 gram yang disimpan di dalam sebuah beg.

“Hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada penemuan dadah dipercayai jenis heroin seberat 310 gram dan 1,015 gram kristal dipercayai syabu yang disembunyikan di dalam sebuah tong pembesar suara yang di­letakkan di sebuah rumah kosong bersebelahan rumah dua beranak itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua ber­anak itu tidak bekerja dan dipercayai menjadikan kegiatan menjual dadah sebagai punca utama pendapatan mereka.

Saifi berkata, nilai dadah yang dirampas itu dalam anggaran RM110,000.

Turut disita ialah dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Wave Dash yang dianggarkan bernilai RM9,000.

Saifi memberitahu, ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif dadah jenis opiate manakala ibunya negatif.

“Hasil semakan mendapati suspek le­la­ki mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 6 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952.

“Dua beranak itu kini dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 3 April depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.