Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, empat lelaki dipercayai Geng Tebuk yang berusia 20 sehingga 30-an mati ditembak sepasukan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) dan (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bersama anggota Ibu pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira pukul 4.50 pagi.

Katanya, dipercayai suspek baru sahaja melakukan kes pecah rumah di sekitar daerah Kulim sebelum terserempak dengan pihak polis yang melakukan rondaan  cegah jenayah di Lunas.

"Kira-kira pukul 3 pagi ketika menjalankan rondaan di sekitar Lunas pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di sekitar daerah ini lalu mengesan kereta terbabit di Lunas.

"Anggota polis kemudian memperkenalkan diri lalu mengarahkan kenderaan yang dinaiki oleh suspek supaya memberhentikan kenderaan mereka untuk pemeriksaan.

"Walau bagaimanapun suspek enggan berhenti sebaliknya memecut laju melarikan diri ketika dikejar anggota polis.

"Pihak polis berjaya memintas kereta yang dinaiki oleh penjenayah berhampiran plaza tol Lunas," katanya ketika sidang akhbar dekat sini hari ini.

Katanya pihak polis terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri selepas penjenayah melepaskan tembakan serta menyerang polis dengan senjata parang dan akhirnya ke semua suspek mati terkena tembakan di tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan pada kenderaan penjenayah itu pihak polis menemui dua bilah parang, sepucuk pistol separa automatik dan  beberapa peralatan untuk memecah rumah dan menebuk peti besi di rumah mangsa.

"Di dalam kenderaan penjenayah terbabit juga pihak polis menemukan sebuah kotak yang di percayai mengandungi barang milik mangsa pecah rumah.

"Hasil siasatan pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes kejadian pecah rumah tebuk peti besi yang dilakukan oleh penjenayah warga asing itu di Alor Setar dan Baling dalam beberapa hari lalu," katanya. - UTUSAN ONLINE