Video oleh ISMAIL KAMADIN

Shabudin Said, 73, yang tinggal bersendirian sejak kematian isteri­nya lebih 20 tahun lalu seolah-olah terganggu apabila pihak media meminta izin untuk melihat keadaan di dalam rumahnya itu.

Warga emas yang bergantung kepada hasil tanah sawah yang disewakan itu berkata, dia tidak mengharapkan bantuan membina rumah baharu sebaliknya hanya mahu bumbung yang bocor serta lantai rumah kayu yang usang itu dapat dibaik pulih.

“Kalau buat rumah baharu, pak­cik tak nak. Kalau boleh, mahu bumbung dan lantai rumah ini sahaja yang dibaik pulih. Sudah lama pakcik tinggal di rumah pe­ninggalan (ibu bapanya) sendirian, pakcik tak mahu menyusah­kan sesiapa,” katanya ketika di­temui di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatan­kuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan serta Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Mohd. Asmirul Anuar Aris menyampaikan bantuan barang keperluan asas serta duit raya sumbangan Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara (UUM) kepada Shabudin.

Sumbangan itu disampaikan melalui program Bakul Ramadan Semarak Sedekah Mengimpi Barakah anjuran IPDM UUM de­ngan kerjasama Unit Media Baharu, Utusan Melayu (M) Berhad dan Surau An-Najihin, Taman Melati, Alor Star.

Yang hadir sama, Pengarah IPDM UUM, Dr. Ahmad Zaharu­d­din Sani Sabri.

Sementara itu, anak saudara Shabudin, Fatimah Saad, 63, memberitahu, pihaknya berharap ada pihak bertanggungjawab dapat membantu warga itu untuk mendapat kediaman yang lebih selesa untuknya menghabiskan sisa-sisa kehidupan.

“Selain keadaan bumbung rumah yang bocor di sana sini, ba­nyak tempat seperti ruangan dapur sudah langsung tidak boleh digunakan. Keadaan rumah kayu ini juga bagaikan menunggu masa untuk roboh.

“Walaupun bimbang dengan keselamatan bapa saudara saya namun disebabkan sikapnya yang tidak mahu menyusahkan sesiapa, kami tidak dapat berbuat apa-apa. Lebih-lebih lagi dia berdegil mahu mengekalkan nilai sentimental rumah ini sehingga sanggup tinggal sendirian di rumah ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin berkata, seramai 40 pene­rima daripada golongan kurang berkemampuan mendapat sumbangan menerusi program Bakul Ramadan yang mendapat kerjasama daripada Utusan Online, DZ Print Enterprise dan Shaidon Awang Empire Sdn. Bhd. itu sudah tahun kelima penganjurannya.

“IPDM tidak pernah gagal me­lak­sanakan program Bakul Ramadan dengan matlamat untuk berkunjung ke daerah berbeza setiap tahun. Pada kali ini, kami memilih Kubang Rotan di Kuala Kedah manakala tahun-tahun sebelumnnya di Changlun, Jitra, Kuala Sala dan Kuala Nerang.

“Tujuan kita menganjurkan program ini adalah untuk merapatkan diri dengan masyarakat dan mengenalpasti kehendak golongan yang memerlukan ini. Adakala kita sekadar memberi tanpa mengetahui kehendak mereka sebelum mencari jalan penyelesaian membantu me­reka,” katanya.